Friday, March 15, 2013

BlackBerry 10 kini di Malaysia, sasar kedudukan 2 teratas

KUALA LUMPUR – Pengeluar telefon pintar berpengkalan di Kanada yang sebelum ini dikenali sebagai Research In Motion (RIM), BlackBerry, optimis untuk merampas kedudukan ke-2 dalam perkongsian pasaran telefon pintar di Malaysia dari iPhone, menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini, Blackberry berada di tangga ke-3 dari segi penguasaan pasaran di belakang Samsung dan iPhone keluaran Apple.
Menurut Pengarah Wilayah, Malaysia dan Brunei BlackBerry, Annamalai Muthu, sasaran itu dibuat dengan mengambilkira pelancaran 6 lagi model baru BlackBerry di pasaran Malaysia menjelang akhir tahun ini.
“Kami yakin dengan kemampuan sistem operasi Blackberry versi baru yang mengetengahkan pelbagai ciri yang tidak dimiliki oleh pesaing kami termasuk lebih 70,000 aplikasi untuk model baru kami, BlackBerry Z10,” demikian ujar Muthu ketika ditemui di majlis pelancaran model Z10 yang dikuasakan Blackberry 10 di ibu negara.
Annamalai Muthu (kiri) di majlis pelancaran BlackBerry Z10
Annamalai Muthu (kanan) di majlis pelancaran BlackBerry Z10
BlackBerry Z10 yang menampilkan ciri skrin sesentuh sepenuhnya, akan mula menjengah pasaran pada 9 Mac depan menerusi syarikat telekomunikasi, Maxis. Tempahan awal boleh dibuat pada 21 Februari ini.
Bagi pengguna Celcom dan Digi, Z10 boleh didapati pada 8 April.
Harga peranti yang ditetapkan adalah pada RM2,188 seunit.
BB Z10 menampilkan skrin sesentuh sepenuhnya
BB Z10 menampilkan skrin sesentuh sepenuhnya
Kepada pengguna BlackBerry sedia ada yang ingin melakukan ‘trade-in’ bagi model BlackBerry sebelum ini kepada Z10, ia boleh dilakukan dengan mendapatkan rebat sehingga RM480.
Baucer boleh diperoleh menerusi pendaftaran di laman Facebook “BlackBerryMY”, berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan.
Antara ciri-ciri baru dalam model Z10 adalah ‘BlackBerry Hub’ yang merupakan platform tunggal bagi menguruskan semua komunikasi termasuk emel, pesanan BBM dan aplikasi media social lain.
Ia turut dilengkapi teknologi baru pad kekunci sesentuh yang lebih pantas dan boleh mengadaptasi kepada kekerapan menaip dan ayat yang selalu digunakan.
Pesanan BBM pula dinaiktaraf kepada panggilan suara dan video.
Sementara itu menurut Muthu lagi, model Q10 yang mengekalkan ciri pad kekunci ‘QWERTY’, juga dikuasakan oleh BlackBerry 10, akan mula berada di pasaran Malaysia, Jun depan.
“Pelancaran BlackBerry 10 ini amat penting dalam mentransformasi keupayaan produk kami di pasaran. Ia bukanlah produk penentu kepada jatuh bangunnya reputasi BlackBerry, namun kami percaya ia akan diterima baik oleh pengguna sedia ada dan pengguna baru kami,”
Ketika ditanya persamaan yang digembar-gemburkan antara model Z10 dan iPhone 5, Muthu menegaskan, setakat ini pengguna yang telah menggunakan Z10 memberi maklumbalas positif dan tidak mengaitkannya dengan model pesaing itu. – ABN News

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...