Monday, March 18, 2013

Klip Video Dafi, Salahkah Aku 5 Hari 48,000 Hits


Klip Video Dafi, Salahkah Aku 5 Hari 48,000 Hits

KUALA LUMPUR, 18 MAC 2013: Meskipun baru lima hari ditayangkan di YouTube, namun klip video lagu terbaru Dafi berjudul Salahkah Aku telah berjaya menambat hati ramai peminatnya.Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
Sehingga hari ini, klip video yang diarahkan pengarah baru berbakat besar, Hadith Omar itu telah mencecah 48,000 jumlah tontonan (hits), sekali gus mengatasi jumlah tontonan klip video terdahulunya iaitu Bila Terasa Rindu (1,968 hits) dan Seumur Hidup (2,596 hits).
Dafi yang dihubungi portal murai.com.my berkata, dia bersyukur dengan sambutan memberangsangkan berkenaan dan menganggap resipi utama kejayaannya itu adalah bersandarkan strategi promosi di laman sosial.
"Promosi yang saya buat sejak ianya dilancarkan di YouTube ialah menerusi laman sosial seperti Instagram, Twitter, Facebook serta tayangan hanya sekali menerusi program MeleTOP pada minggu lalu, nampaknya cukup menjadi.
"Ini adalah kali pertama saya cuba memfokuskan promosi di laman sosial berbanding cara lain yang pernah saya buat sebelum ini. Alhamdulillah, strategi ini nampaknya menjadi," katanya kepada murai.com.my sambil menghela nafas lega.
Menurut Dafi, Salahkah Aku ciptaan sepenuhnya Ajai merupaka salah satu single terbarunya dalam satu cara memperkenalkan album solonya yang akan menjengah di pasaran tempatan Jun ini.
Katanya, selain diarahkan pengarah baru, Dafi nampaknya diberikan peluang sepenuhnya untuk merealisasikan klip video berkenaan bermula dari peringkat jalan cerita, rakaman, suntingan sehingga siap sepenuhnya.
Lebih istimewa menurut Dafi kerana klip video berkenaan telah dilakonkan oleh rakan artis yang dekat dengannya seperti Elfira Loy, Kaka, Hefny Sahad, Hafizul Kamal, Hairul Azreen dan juga Didie Alias.
"Klip video ini merupakan projek terbaru saya dan saya merupakan penerbitnya. Bukan setakat lagu Salahkah Aku saja, malah ada tiga lagi klip video yang bakal menyusul tidak lama lagi yang turut menggunakan tenaga barisan pelakon serupa.
"Ini kerana setiap satu klip video mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Jika di dalam Salahkah Aku anda dapat melihat saya bertengkar dengan Kaka dan jatuh cinta dengan Elfira Loy, tetapi tunggu pula sambungannya dalam klip video seterusnya," katanya teruja.
Salahkah Aku telah menjalani penggambaran di Sendayan, Negeri Sembilan dan juga KDH Villa, Bentong yang telah diadakan pada Februari lalu.
Tambah Dafi, jumlah keseluruhan untuk keempat-empat klip video terbitannya itu menelan belanja sebanyak RM150,000 dan dia sengaja memilih tema gaya kehidupan mewah bagi memberi impak tersendiri untuk projeknya itu.
"Memang inilah cita-cita saya yang telah terpendam sekian lama untuk melahirkan album sendiri selepas impian saya memperkenalkan nama di Indonesia telah pun tercapai.
"Kontrak saya bersama stesen TV di Indonesia telahpun tamat pada Januari lalu dan biarlah saya memberikan fokus sepenuhnya untuk album ini. Kemudian barulah saya kembali ke Indonesia semula memandangkan ada beberapa tawaran yang saya terima di sana," katanya gembira.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...