Sunday, March 17, 2013

Konsep 1Malaysia pikat Aznil


 1Malaysia membabitkan semua bangsa dan keturunan dalam filem animasi Bola Kampung The Movie membuatkan Datuk Aznil Nawawi tidak berfikir panjang untuk meminjamkan suaranya.
Sebagai rakyat Malaysia, Aznil bangga dengan filem dihasilkan kerana ia juga berbeza dengan filem animasi yang pernah dihasilkan anak tempatan kerana bersifat futuristik. 
Katanya, selepas menyaksikan filem yang dihasilkan Animasia Studio Sdn Bhd (ASSB) ini, ia terus menimbulkan rasa kagum kerana mereka kelihatan hebat dan kedengaran besar di layar lebar. 

Tambahan pula corak persembahan animasi diterbitkan tidak banyak beza de­ngan apa dihasilkan produksi besar di Hollywood seperti Disney mahupun Pixar.

“Saya bangga diberi peluang menjayakan Bola Kampung yang juga filem kartun 3D pertama tempatan. Bayangkan kalau saya hidup 1,000 tahun lagi pun belum tentu saya dapat merasai dunia futuristik digambarkan dalam Kingdom Hill.

“Jalan cerita ditampilkan juga menarik dan berbeza kerana menampilkan kehidupan dua dunia berbeza iaitu kampung dan alam luar. Ini antara sebab utama saya bersetuju terbabit dalam filem ini kerana mereka sungguh profesional. 

“Jujur saya katakan, bayaran diberi juga tinggi. Jelas produksi ini profesional dan bijak menilai bakat dipilih untuk menjayakan filem dihasilkan,” katanya. 

Selain Aznil, Bola Kampung yang bakal ditayang­kan di pawagam pada 21 Mac ini turut dijayakan Ezlynn, Marsha Milan London, Afdlin Shauki, Aizat Amdan, Douglas Lim, Steven Bone dan Deanna Yusoff. 

Aznil juga akui pembabitan pelakon nama besar sangat membantu dalam menarik perhatian. Begitupun, katanya, mereka tetap menitikberatkan kualiti apabila memilih Ezlynn untuk memegang watak utama sebagai budak lelaki. 

“Saya berasa hairan dan tertanya-tanya bagaimana orang perempuan meminjamkan suara untuk budak lelaki. Namun bila menonton filem ini, saya berasa kagum. 

“Karakter diwujudkan Ezlynn dalam suaranya untuk watak Iwan benar-benar menjadi. Sebab itu saya katakan produksi ini sangat profesional dan mereka sungguh teliti apabila pembikinannya mengambil masa dua tahun,” katanya. 

Memegang watak jahat sebagai Lord Vilus, pasti ada yang akan membandingkan dirinya dengan watak Prof Klon dalam Cicakman dan Mr J dalam pementasan The Secret Life Of Nora, walaupun kali ini hanya meminjamkan suara. 

Kata Aznil, dia sedar mereka mungkin mahu mencari watak jahat yang dikenali umum tetapi baginya, melakonkan watak Lord Vilus lebih mencabar kerana ia harus dizahirkan dengan emosi, getaran vokal dan tiada gerakan tubuh. 

“Memang saya pernah meminjamkan suara untuk filem alih suara mahupun animasi sebelum ini, tetapi itu saya tahu jalan ceritanya. Malah, dalam Disco Worm, saya bertindak sebagai pe­ngarah untuk vokal setiap watak. 

“Bagi memudahkan pelakon dalam Disco Worm, saya merakam terlebih dulu suara bagaimana dikehendaki untuk semua watak, kemudian pelakon hanya masuk studio dan ikut saja apa yang saya buat. 

“Berbeza dengan Bola Kampung, saya hanya menghayati watak Lord Vilus menerusi gambar yang dilukis lebih awal dan filem belum siap sepenuhnya. 

“Menggambarkan pergerakan watak itu menerusi jalan cerita disampaikan juga mencabar, apatah lagi Lord Vilus asalnya seekor siput dan mahu meminjam badan makhluk asing. 

“Bayangkan bila kecil, saya kena kecilkan suara dan apabila menjadi besar, suara harus gah sesuai tubuh. Begitu juga apabila bertarung di padang dan bola api datang, tentu jeritan juga harus lain. Begitupun, saya puas kerana dapat melakukannya,” katanya. 

Marsha yang memegang watak Puteri Amanda mula jatuh cinta dengan kerjaya barunya. Katanya, selepas jadi penyanyi, pelakon dan pengacara, dia kini berpeluang menimba pengalaman terbabit dengan filem animasi ini pula. 

“Pada awalnya, saya dipanggil untuk menyanyikan lagu runut bunyi filem ini, Rindu berduet dengan seorang lagi pelakon filem ini, Harris Alif. 

“Waktu datang ke studio, saya nampak lukisan merata-rata. Saya tanya apa yang mereka lakukan, kata mereka dalam proses menyiapkan filem animasi Bola Kampung. 

“Saya pernah menyaksikan animasinya yang ditayangkan di TV9. Ia memang menarik dan seronok. Saya turut tanya watak ditampil­kan. Kata mereka, ada beberapa watak menarik dan mahu saya cuba sumbangkan suara untuk Puteri Amanda. 

“Apabila diberi peranan dalam Bola Kampung, tentu saya teruja, lebih-lebih lagi apabila diberi watak puteri. Saya memang meminati ­kartun dihasilkan Disney seperti Snow White dan Sleeping Beauty atau siri kartun Barbie yang pernah ditayang­kan. 

“Apabila diberi watak puteri, saya seronok sangat. Begitupun, dalam menghayati watak Puteri Amanda, saya hanya bergantung kepada lakaran lukisan, dialog dan jalan cerita diberi lebih awal dan dibuat dalam bentuk papan cerita,” katanya. 

Bola Kampung yang turut dijayakan Afdlin sebagai Sabok, Harris (Azizul), Douglas (Szeto), Aizat (Mat) dan Deanna (Permaisuri), mengi­sahkan Puteri Amanda dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari wira bergelar Suria Warrior untuk menyelamatkan negara yang diperintah bapanya, Kingdom Hill. 

Sampai di kampung, Puteri Amanda hilang ingatan tetapi Iwan yang diminta ke stesen kereta api untuk menjemput sepupunya, salah ang­gap dan membawa pulang Puteri Amanda. 

Tanpa disedari, penjahat dari Kingdom Hill juga dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari dan membawa pulang Puteri Amanda kerana Lord Vilus tidak akan memiliki kuasa luar biasa tanpanya. 


FAKTA: 
  1. Filem arahan Loong Ah dan Chong Tee Chua ini adalah adaptasi dari siri animasi televisyen yang disiarkan di RTM dan TV9 
  2. Bajet RM6 juta untuk dapatkan hasil terbaik dan kualiti lebih mantap membabitkan lebih 100 bakat tempatan 
  3. Pembikinannya mengambil masa lebih empat tahun bagi mendapatkan hasil berkualiti 
  4. Menampilkan format Imej Janaan Komputer (CGI) yang baru dan menakjubkan 
  5. Siri Bola Kampung yang disiarkan dalam bahasa Melayu, dialih bahasa ke bahasa Inggeris dan bahasa lain dengan tajuk Football Kids untuk tayangan Disney Channel di 16 negara sejak 2007, termasuk Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam dan Turki 
  6. Bola Kampung adalah siri animasi pertama dari Malaysia yang mendapat saluran di Disney Channel Asia 
  7. Sehingga kini, siri ini disiarkan empat musim di televisyen. Pada 2011, siri ini diperbaharui dengan judul Bola Kampung X dan ditayangkan secara perdana di saluran Cartoon Network    
-MyMetro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...