Sunday, March 17, 2013

Ezlynn jadi lelaki


Lama menyepi diri, Ezlynn kembali menghangatkan industri seni dengan filem Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, Adik Manja dan terbaru, filem animasi Bola Kampung.
Malah, kerjaya nyanyian juga kembali hidup apabila lagu Lamunan Terhenti untuk runut bu­nyi Hantu Kak Limah 2, menjuarai carta lagu popular di radio. 
Ezlynn tidak menafikan, selepas bernikah dengan pengurusnya Adam, memang dia mengambil keputusan untuk berehat seketika tetapi bukan dalam tempoh lama.

“Sebenarnya saya mahu berehat tiga bulan saja. Selepas itu saya kembali sibuk di lokasi penggambaran filem dan terbabit dengan beberapa program televisyen.

“Antara yang disaksikan kini ialah Fear Factor Malaysia, tetapi orang nampak saya seperti menyepikan diri disebabkan semua filem yang saya jayakan ha­nya ditayangkan tahun ini. Berturut-turut pula. Selepas Adik Manja, ditayangkan pula Hantu Kak Limah 2,” katanya.

Kata Ezlynn, dia tidak berehat panjang kerana dia dan suami masih merancang dan belum bersedia memiliki anak dalam waktu terdekat.

, katanya, tahun ini dia dan suami bercadang untuk mempunyai anak selepas semua kerja selesai, termasuk promosikan filem Bola Kampung.

Mengenai pembabitan­nya memegang watak utama sebagai budak lelaki, jelas Ezlynn, pada peringkat awal dia datang untuk menjalani uji bakat untuk watak perempuan yang ada, tetapi pe­ngarah memintanya menjadi budak lelaki.

“Saya pula memang suka tengok kartun dan selalu menga­juk suara yang dipinjam­kan untuk animasi seperti Doraemon dan Sin Chan. Saya pun buatlah selepas melihat lakaran diberi. Selepas mencuba, saya terus pulang.

“Hampir dua minggu saya menunggu jawapan untuk dihubungi kembali, tetapi tiada maklum balas. Saya tanya suami adakah mereka telefon dan watak apa yang ditawarkan.

“Kata Adam, memang ada dan mahu saya menjayakan watak Iwan. Saya terperanjat dan anggap suami main-main, rupa-rupanya tidak,” katanya.

Kata Ezlynn, pada pering­kat awal apabila mereka memintanya meminjamkan suara untuk watak Iwan, dia tergelak tetapi apabila melakukannya ia jadi seronok.

“Cuma cabaran itu lebih sikit sebabnya saya harus memastikan suara saya sama dengan karakter setiap masa. Tidak boleh silap sikit pun. Mujur saya diberi latihan oleh pengarah vokal, Joanna Bessey.

“Selain mengeluarkan suara, saya harus menggayakan babak yang bakal dilakukan Iwan seperti berlari mengejar bola, melompat dan memanjat. Saya lakukan itu supaya suara kedengaran benar-benar hidup,” katanya.

Ezlynn kini sibuk sebagai juri untuk program realiti pencarian bakat Rentak Irama Jalanan sebanyak 13 epi­sod untuk RTM.

-myMetro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...